Thursday, July 1, 2010

Usaha – Usaha Uthman Bin Affan Dalam Penulisan Al-Quran

Disediakan untuk
Abdul Aziz Bin Harjin


Disediakan oleh
Siti Zulaikha Binti Azizan
2009401966

Sains Komputer Dan Matematik (CS110)
10 Mac 2010
Universiti Institut Teknologi Mara

Abstrak
Saidina Uthman Bin Affan adalah salah seorang sahabat nabi yang dilahirkan di Ta’if dalam keadaan serba mewah dalam keluarga yang berpengaruh. Saidina Uthman merupakan pemerintah ketiga Khulafa Arrasyidin selepas Saidina Abu Bakar. Usaha-usaha beliau dalam penulisan semula Al-Quran ini bermula selepas beliau meneliti saranan Huzaifah Bin Al-Yaman mengenai penyelarasan bacaan Al-Quran apabila berlakunya perselisihan faham antara orang Islam pada ketika itu. Kata sepakat telah dicapai selepas berbincang dan berunding dengan para sahabat demi perpaduan dan keamanan sesama umat Islam pada zaman itu. Zaid Bin Thabit, Abdullah Bin Zubair, Saad Bin Al-‘As dan Abdul Rahman Bin Harith Bin Hisyam telah ditugaskan untuk menyalin semula Al-Quran kepada beberapa salinan mushaf setelah memperoleh suhuf yang berada dalam simpanan Hafsah. Saidina Uthman begitu teliti semasa kerja-kerja penulisan dijalankan. Setelah selesai menyalin Al-Quran kepada beberapa mushaf juga dikenali sebagai mushaf Uthmani. Setiap satu mushaf itu dihantar ke setiap kota Islam dan bersama-samanya adalah seorang guru yang akan mengajar masyarakat Islam cara untuk membaca mushaf itu mengikut qiirat dan bacaan yang betul. Demi unuk mengelakkan sebarang kekeliruan lagi yang akan timbul, Saidina Uthman mengarahkan agar mushaf-mushaf atau suhuf-suhuf lain selain mushaf Uthmani dimusnahkan dan dibakar dan meminta agar umat Islam merujuk kepada mushafnya yang telah diselaras dan disusun. Awal pencadangan supaya penulisan Al-Quran dilakukan, semua para sahabat telah bersetuju memberi sokongan kecuali Abdullah Bin Masood kerana beliau merasa kecil hati dengan pemilihan Zaid sebagai salah seorang yang ditugaskan untuk menyalin semula Al-Quran kerana beliau terlebih dahulu memeluk Islam berbanding Zaid namun akhirnya beliau juga telah bersetuju dengan usul Saidina Uthman. Mushaf Uthmani telah dapat diterima oleh masyarakat Islam dengan rela hati kerana mereka tahu bukan sebarangan orang yang boleh menulis dan menghasilkan mushaf seperti ini. Sesungguhnya usaha-usaha Saidina Uthman Bin Affan dalam penulisan Al-Quran telah memberi impak yang positif kepada perpaduan umat dan menjadikan mushaf ini sebagai tempat rujukan tunggal kepada para umat Islam sekiranya berlaku perselisihan dari segi qiirat dan bacaannya. Jasa Saidina Uthman dalam aspek penulisan semula Al-Quran amatlah besar dan kita sebagai umat Islam seharusnya mencontohi dan mengangumi sikap terpuji yang ada pada diri Saidina Uthman Bin Affan.

Pendahuluan
Nabi Muhammad S.A.W telah menyatakan bahawa sekiranya kita sebagai umat Islam berpegang kepada Al-Quran dan Hadis nescaya kita tidak akan tersesat ke lembah kejahatan dan kejahilan. Al-Quran merupakan kalam Allah dan kitab suci umat Islam yang akan Allah pelihara sehingga kiamat.
Semasa zaman Rasulullah S.A.W dahulu, Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur melalui wahyu yang disampaikan oleh malaikat Jibrail dan ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan itu ditulis pada kulit binatang, tulang, pelepah tamar, dan diukir di batu.
Al-Quran kitab suci umat Islam dan merupakan pegangan dan panduan hidup umat Islam mempuyai pelbagai keistimewaan. Al-Quran merangkumi pelbagai aspek misalnya peristiwa yang telah berlaku dan akan berlaku, ilmu perundangan, akhlak, akidah, dan sebagainya. Malah, tidak dapat disangkal lagi bahawa bahasa Al-Quran merupakan bahasa yang sangat indah dan tidak mampu itandingi oleh sesiapa pun di dunia ini dan kita tidak akan pernah jemu membacanya.
Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W, Saidina Abu Bakar telah dilantik untuk menjadi khalifah dan semasa pemerintahan beliau perperangan telah berlaku dan mengakibatkan banyak sahabat yang menghafal Al-Quran mati syahid. Lantas, Saidina Abu Bakar telah menghasilkan satu suhuf yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran.
Usaha penulisan Al-Quran dijalankan sekali lagi semasa pemerintahan Saidina Uthman kerana berlaku perselisihan faham mengenai cara pembacaan Al-Quran antara umat Islam yang telah disampaikan oleh Huzaifah. Selesai dalam penghasilan salinan Al-Quran kepada beberapa naskah, Saidina Uthman telah menghantar setiap satu salinan naskah tersebut dan bersama-sama salinan tersebut adalah guru yang akan mengajar cara membaca Al-Quran yang betul.
Hasil daripada tindakan Saidina Uthman itu telah dapat menyatukan umat Islam dan jasa beliau adalah amat besar kepada seluruh umat Islam.

Salasilah dan keperibadian Saidina Uthman Bin Affan
Saidina Uthman dilahirkan pada lima tahun selepas kelahiran Rasulullah di Tha’if dan berketurunan Bani Umaiyah.Beliau dilahirkan dan hidup dalam keadaan yang serba mewah. Apabila meningkat dewasa, beliau mewarisi kekayaan dan perniagaan keluarganya yang sememangnya berpangkat tinggi sehinggakan beliau begitu terkenal. Walaubagaimana pun, kekayaan yang dikecapinya tidak menjadikan Saidina Uthman gelap mata. Sebaliknya, beliau seorang yang jujur, lemah lembut, pemalu dan pemurah. Beliau sangat prihatin terhadap golongan miskin dan suka berbuat baik kepada sesiapa sahaja. Sikapnya ini amat disenangi masyarakat sekelilingnya. Syed (1995)(ms 143), Mustafa(2006)(ms 162)
Saidina Uthman mula mengenali Islam melalui Saidina Abu Bakar. Saidina Uthman segera mengunjungi rakannya, Saidina Abu Bakar apabila rakannya itu mengajaknya mengikuti satu perbincangan secara rahsia mengenai sesuatu perkara. Saidina Abu Bakar memberitahu bahawa lahirnya seorang nabi dan rasul yang bernama Muhammad Bin Abdullah namun Saidina Uthman tidak begitu terperanjat kerana pada suatu masa dahulu, ketika beliau sedang dalam perjalanan kembali ke Syam, beliau telah bermimpi mendengar suara seseorang mengatakan “Bangunlah segera kerana sesungguhnya Ahmad telah diutuskan di Mekah!”. Bermula dari titik itulah beliau mula berkenalan dengan Muhammad. Beliau juga telah mengahwini dua orang puteri Rasuliullah iaitu Ruqiah dan Ummi Kalsom dan diberi gelaran Zun-Nurain yang bermaksud dua cahaya. Syed(1995)(ms 145-148), Mustafa(2006)(ms 163-173)
Saidina Uthman telah diberi kepercayaan dan dilantik sebagai salah seorang pemimpin dalam pemerintahan Khulafa Ar-Rasyiddin. Beliau merupakan pemimpin yang ketiga selepas Saidina Umar Bin Al-Khatab. Tempoh pemerintahan beliau selama dua belas tahun iaitu bermula pada 23 Hijrah sehingga 35 Hijrah. Semasa era pemerintahan beliau, salah satu perkara yang penting yang telah diusahakan beliau adalah pengumpulan semula Al-Quran yang dikenali sebagai mushaf Uthmani demi perpaduan masyarakat Islam pada ketika itu telah berlaku perselisihan faham mengenai cara pembacaan Al-Quran.

Pengumpulan dan penulisan semula Al-Quran pada zaman Saidina Uthman Bin Affan
Semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar, berlaku peperangan antara orang Islam dan golongan murtad. Selepas kewafatan Rasulullah S.A.W, Musailimah Al Kadzab telah mendakwa bahawa dirinya adalah nabi dan telah berjaya mempengaruhi Bani Hanifah. Lalu, Khalid Bin Al- Walid yang memimpin 4000 pasukan tentera menggempur golongan murtad itu. Akibat daripada peperangan itu, ramai para sahabat yang menghafal Al-Quran gugur syahid. Oleh yang demikian, Saidina Umar telah mencadangkan kepada Saidina Abu Bakar agar Al-Quran dikumpulkan. Selepas perbincangan antara Saidina Umar, Saidina Abu Bakar dan Zaid Bin Tsabit maka persetujuan dicapai. Zaid menulis ayat-ayat suci Al-Quran dan mengumpulkannya dalam satu mushaf. Selepas kewafatan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar, mushaf itu disimpan oleh Hafsah, puteri Saidina Umar.
Pada zaman pemerintahan Saidina Uthman, penaklukan dilakukan secara besar-besaran dan menyebabkan umat Islam berada di merata-rata tempat. Para penduduk di setiap kawasan mempelajari kaedah-kaedah pembacaan Al-Quran daripada sahabat-sahabat nabi yang berada berdekatan dengan mereka. Misalnya, penduduk di Syam mempelajari cara-cara bacaan Al-Quran daripada Ubai Bin Ka’ab manakala para penduduk di Kufah pula mempelajari cara-cara bacaan Al-Quran daripada Abdullah Bin Masood. Oleh kerana Al-Quran telah diturunkan kepada tujuh jenis pelat bahasa seperti yang telah disampaikan oleh Rasulullah S.A.W secara mutawatir telah menimbulkan beberapa perselisihan faham mengenai cara pembacaan Al-Quran sesame umat Islam. Setiap pihak mendakwa bahawa bacaan mereka yang betul dan bacaan pihak yang lain adalah salah.
Pada tahun ke dua puluh lima hijrah, satu perbalahan telah berlaku antara para penduduk Syam dan Iraq semasa mereka memerangi negeri Armania dan Azarbaijan mengenai perbezaan kaedah bacaan Al-Quran dan seterusnya perselisihan dari segi qiraat bacaannya. Perkara ini telah disampaikan oleh Huzaifah Bin Al-Yaman yang turut serta semasa peperangan itu kepada Saidina Uthman Bin Affan.Kemudian. Saidina Uthman mengadakan perbincangan dan perindingan dengan para sahabat tentang perkara tersebut. Lalu, mereka bersepakat bahawa Al-Quran disalin kepada beberapa buah mushaf untuk dihantar ke setiap kota Islam agar dapat menjadi tempat rujukan jika berlakunya perselisihan faham sekaligus dapat mengembalikan keamanan antara umat Islam.
Saidina Untman memulakan langkah dengan menyerahkan tugas tersebut kepada empat orang sahabat yang menghafal Al-Quran iaitu Zaid Bin Tsabit, Abdullah Bin Az-Zubair, Saad Bin Al-‘As, dan Abdul Rahman Bin Al-Harith Bin Hisyam. Seterusnya, Saidina Uthman telah menghantar wakil ke rumah Hafsah meminta supaya Hafsah menyerahkan naskah yang disimpannya itu.
Ketilitian Saidina Uthman dalam usaha penulisan semula Al-Quran
Para sahabat yang dipertanggungjawabkanuntuk menulis sesuatu ayat tidak akan menulis sesuka hati sebaliknya dirujuk dahulukepada para sahabat yang lain untuk memastikan sama ada ayat itu adalah ayat Al-Quran yang tulen dan bacaanya tidak dimansukhkan ketika semakan daripada malaikat Jibrail. Para sahabat tidak akan menulis ayat-ayat yang telah dimansukhkan bacaannya atau ayat-ayat yang tidak sah semasa semakan terakhir daripada malaikat Jibrail. Selain itu, mereka tidak akan menulis ayat-ayat yang terdapat daripada orang perseorangan yang didapati bukan daripada ayat-ayat Al-Quran.
Panduan lain yang diberikan kepada para sahabat ialah apabila berlakunya perselisihan qiraat antara Zaid yang buka berasal daripada katurunan Quraisy, dengan Abdullah Bin Az-Zubair, Saad Bin Al-‘As, dan Abdul Rahman Bin Al-Harith Bin Hisyam yang berketurunan Quraisy maka perlulah ditulis mengikut qiraat orang Quraisy kerana Al-Quran diturunkan dalam bahasa Quraisy.
Para sahabat yang menulis mushaf-mushaf ini berbeza dari segi hazaf, ithbat, naqs, ziadah dan lain-lain kerana maksudnya merangkumi tujuh jenis longhat yang telah diguna pakai dalam bahasa Al-Quransewaktu seawal penurunan ayat-ayat Al-Quran lagi. Huruf-huruf tidak berbaris dan bertitik. Kata-kata yang warid atas bacaan lebih dari satu disamping tidak mempunyai titik dan baris menyebabkan Al-Quran boleh dibaca menurut qiraat-qiaat yang diharuskan. Mereka juga tidak menulis ayat-ayat Al-Quran kepada dua bentuk tulisan yang asal,yang satu lagi berada di sebelah kanan tepi ayat yang asal supaya tidak menimbulkan kekeliruan kerana takut nanti ada yang berangapan bahawa ayat yang di tepi sebelah ayat yang asal adalah pembetulan kepada ayat yang asal manakalaayat yang asal disangkakan silap. Sementelahan, para sahabat juga disuruh agar menentukan bahasa dan lafaz yang harus digunakan semasa membaca Al-Quran bagi menghapuskan perselisihan faham mengenai penggunakan kalimat.
Jelaslah bahawa perselisihan dari segi bacaan Al-Quran para Qurra’ adalah berpunca daripada pelbagai qiraat dan loghat bahasa yang para Qurra’ terima sebelum malaikat Jibrail membuat semakan terakhir yang kemudiannya dimansukhkan sesetengah ayat atau qiraat namun pemansukhan itu tidak sampai kepada pengetahuan mereka.
Saidina Uthman menyuruh para sahabat menyalin empat mushaf dari naskah yang pertama yang dinamakan Al-Imam. Tiap-tiap satu naskah dihantar ke Basrah, Mekah, Kufah dan Syam manakala salinan asal berada dalam simpanan Saidina Uthman. Setelah selesai tugas menyalin Al-Quran, Saidina Uthman memulangkan kembali suhuf yang dipinjamnya kepada Hafsah. Saidina Uthman memerintahkan bahawa suhuf atau mushaf selain mushaf Al-Imam hendaklah dibakar dan dimusnahkan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan timbul.
Sesetengah para ulama yang unggul mengatakan bahawa Saidina uhman tidak membakar suhuf Al-Quran yang dipinjamnya daripada Hafsah kerana suhuf itu dianggap sebagai sumber asal bagi mushafnya yang telah di ijma oleh para sahabat tentang kesahihannya.
Para ulama berselisih pendapat mengenai bilangan mushaf yang telah dihantar oleh Saidina Uthman dan ramai yang berpendapat terdapat enam buah mushaf. Tiap-tiap satu dihantar ke Kufah, Mekah, Basrah, Madinah, dan Syam yang dinamakan Al-Madanil Am dan naskah yang terakhir disimpan oleh Saidina Uthman sendiri dan dinamakan Al-Madanil Khas dan diberi gelaran ‘Al-Mushaful Imam’.
Pengutusan naskah-naskah mushaf ke tiap-tiap kota
Saidina Uthman mengutuskan tiap-tiap mushaf dengan seorang Imam yang adil dan cekap dalam bacaan Al-Quran dan bacaan daripada guru tersebut akan memperbetul bacaan masyarakat Islam berdasarkan mushaf yang diutuskan. Saidina Uthman menyuruh Zaid Bin Tsabit supaya mengajar orang ramai tentang penggunakan mushaf tersebut dan beliau menghabtar Abdullah Bin Saaib dan mushaf ke Mekah, neliau juga mengutuskan Mughirah Bin Syihab dan mushaf ke Syam, Abu Abdul Rahman As Salami ke Kufah, serta Amir Bin Qais dan mushaf ke Basrah. Seterusnya, para tabien yang mempelajari Al-Quran daripada para sahabat akan mengambil alih tugas para sahabat setelah meteka sekalian wafat.
Tindak balas umat Islam terhadap mushaf-mushaf Uthmani
Apabila Saidina Uthman mengarahkan supaya ditulis naskah-naskah mushaf yang telah diperbetulkan oleh masyarakat Jibrail semasa semakan terakhir, semua para sahabat telah member sokongan padu terhadap Saidina Uthman dan mereka sukarela membakar mushaf-mushaf yang selama ini berada dalam simpanan mereka. Terdapat cerita bahawa sahabat yang bernama Abdullah Bin Masood yang tidak bersetuju pada mulanya kerana Saidina Uthman memilih Zaid dan membelakanginya dalam urusan penulisan itu kerana beliau terlebih dahulu memeluk Islam.Akhirnya beliau menarik balik bantahan itu. Reaksi para penduduk di setiap kawasan setelah menerima mushaf Uthmani itu berasa sangat menyanjungi mushaf tersebut kerana mereka mengetahui bahawa kerja-kerja penulisan Al-Quran ini bukan kerja orang perseorangan malahan hasil kesepakatan atau ijma’ para sahabat. Para umat Islam telah menerima mushaf itu dengan hati yang terbuka dan mereka menjadikan mushaf itu sebagai tempat rujukan tunggal mereka sekiranya berlaku perselisihan dari segi qiraat dan bacaan sesama mereka.

Kesimpulan
Pada zaman dahulu, para sahabat telah menerima ayat-ayat Al-Quran daripada Rasulullah S.A.W dengan cara hafalan atau disalin pada pelepah tamar, tulang, batu dan kulit binatang. Semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar, beliau mengumpulkan dan menyalin semula ayat-ayat Al-Quran dan dikumpulkan dalam satu suhuf dan suhuf itu disimpan oleh Hafsah, anak Saidina Umar.
Semasa Saidina Uthman menjadi khalifah pula, beliau mengarahkan Zaid dan beberapa orang lagi penghafal Al-Quran untuk menyalin ayat-ayat Al-Quran kepada beberapa naskah. Saidina Uthman meminjam suhuf yang terdapat pada Hafsah sebagai sumber rujukan.Saidina Uthman menghantar setiap kota satu naskah mushaf itu dan bersama-sama naskah itu adalah seorang guru yang akan mengajar cara pembacaan Al-Quran yang betul.
Pada zaman serba moden ini, Al-Quran adalah amat mudah diperoleh dan berjuta-juta naskah telah dicetak dan diterbitkan tanpa ditambah atau dikurangkan apa-apa pun seperti firman Allah, “Sesungguhnya aku akan memelihara Al-Quran sehingga hari kiamat “ . Al-Quran diturunkan oleh Allahdan disampaikan oleh Rasulullah S.A.W sebagai petunjuk ke jalan kebenaran dalam kehidupan kita.
Kita seharusnya begitu bersyukur kerana umat zaman terdahulu begitu menjaga serta memelihara kesucian Al-Quran. Mereka bertungkus lumus tanpa jemu mempelajari dan menyalin Al-Quran agar generasi masa yang akan datang dapat mengenal, mempelajar, menjaga dan beramal dengan ayat-ayat yang terdapat di dalam Al-Quran.
Seiring peredaran waktu, seringkali ada musuh yang sentiasa cuba menyesatkan umat Islam dan dengan berpegang teguh dengan Al-Quran dan menjadikan Al-Quran sebagai tempat rujukan, kita tidak akan mudah terpedaya dengan segala muslihat musuh.
Sebagai umat Islam kita seharusnya mencontohi umat-umat yang terdahulu misalnya yang iman dan semangat jihad mereka amat kuat demi agama Islam tercinta dan kita wajar berbangga kerana dilahirkan sebagai seorang yang Islam kerana Islam merupakan satu-satunya agama yang diterima Allah.

Rujukan
Syed, Syed Ahmad Semait (1995), Sepuluh Yang Dijamin Masuk Syurga, Singapura, Pustaka Islamiyah Pte Ltd.
Ash, Prof. T.M Hasbi Ash Shiddiey, Sedjarah Dan Pengantar Ilmu Al-Quran / Tafsir (cetakan ke-5 1972), Jakarta, Penerbit Bulan Bintang.
El Qadhi, Fathilah Syeikh Abdul Fattah El Qadhi (1965), Sejarah Kitab Al-Quran, terjemhan : Ismail Bin Mohd Hassan, Terengganu, Siri Penerbitan Yayasan Islam Terengganu.
Aboebakar, H. Aboebakar (1973), Sejarah Al-Quran, Kuala Lumpur, Penerbitan Pustaka Antara.
Mustafa, Mustafa Embong, SPM Fokus U (2006), Selangor, Penerbit Pelangi Sdn. Bhd.
Rahman, Abdul Rahman Hj. Abdullah (1981), Sejarah Dan Pemikiran Islam, Selangor, Penerbitan Pena Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment