Thursday, July 1, 2010

Tokoh Pahlawanan Islam: Salahuddin Al-Ayubi

Disediakan untuk:
Abdul Aziz Bin Harjin

Disediakan oleh:
Muhammad Fadzly Bin Mohammed Shamsi
2009809896
10 Mac 2010
Fakulti sains komputer dan matematik,
Universiti teknologi MARA.

Abstrak.
Sesungguhnya pujian hanyalah bagi Allah. Kita sebagai manusia memuji-Nya, meminta pertolongan daripada-Nya, meminta keampunan daripada-Nya, dan memohon petunjuk kepada-Nya. Kita memohon perlindungan kepada Allah dari keburukan diri dan perbuatan kita sendiri. Sesiapa yang diberikan petunjuk oleh Allah maka tiada yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiada yang dapat memberikannya petunjuk. Kajian ini menceritakan kisah tokoh Islam yang disegani iaitu Salahuddin Al-Ayubi sebagai pahlawan Islam yang paling digeruni oleh pihak musuh suatu ketika dahulu. Kisah beliau ini bermula dari saat kelahirannya sehinggalah beliau meninggal dunia.
Kajian mengisahkan tokoh Islam yang dikagumi iaitu Salahuddin bin Al-Ayubi. Nama sebenar beliau ialah Yusof.beliau lahir di Tikrit(Iraq) pada tahun 543H bersamaan 1138M. Ayahnya bernama Najmuddin Ayyub yang berbangsa Kurdis berasal dari Azarbaijan. Selepas kewafatan sultan Nurudin pada tahun 1174, beliau dilantik menjadi sultan Mesir yang baru. Salahuddin melakukan tugas sebagai sultan Mesir dengan baik. Beliau memenangi setiap peperangan yang dihadapinya bersama-sama tentera Islam menentang tentera Salib. Antara peperangan yang dihadapinya ialah perang Taimak, perang di Beirut dan perang di Bukit Hittin. . Pada pagi hari jumaat, 27 Rejab 583H, Salahuddin dan pasukan tenteranya bersiap sedia mahu memasuki Jerusalem. Mereka berjaya menawan kembali kota Jerusalem daripada tentera Salib tanpa mengalami pertumpahan darah dan peperangan yang dahsyat. Salahuddin menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika Imam Abu Jaafar membacakan ayat-ayat al-Quran kepada Salahuddin. Ketika sampai kepada ayat yang bermaksud “Tiada Tuhan Melainkan Allah,” kedengaran suara Salahuddin mengucapkannya lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Kesimpulannya, sifat kepahlawanan Salahuddin Al-Ayubi sentiasa menjadi contoh dan tauladan yang baik kepada setiap orang Islam di dunia ini. Sebagai manusia biasa, kita harus menjadikan tokoh-tokoh ternama seperti Salahuddin Al-Ayubi sebagai contoh terbaik untuk terus maju ke hadapan tanpa dipandang hina oleh orang luar.

Pendahuluan.
Sesungguhnya pujian hanyalah bagi Allah. Kita sebagai manusia memuji-Nya, meminta pertolongan daripada-Nya, meminta keampunan daripada-Nya, dan memohon petunjuk kepada-Nya. Kita memohon perlindungan kepada Allah dari keburukan diri dan perbuatan kita sendiri. Sesiapa yang diberikan petunjuk oleh Allah maka tiada yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiada yang dapat memberikannya petunjuk. Kajian ini menceritakan kisah tokoh Islam yang disegani iaitu Salahuddin Al-Ayubi sebagai pahlawan Islam yang paling digeruni oleh pihak musuh suatu ketika dahulu. Kisah beliau ini bermula dari saat kelahirannya sehinggalah beliau meninggal dunia. Diterangkan pula kisah perjuangan Salahuddin Al-Ayubi menentang musuh-musuh Islam terutamanya semasa perang Salib. Selain itu, Salahuddin seorang yang warak dan zuhud. Beliau berpaling daripada hidup senang-lenang kepada hidup yang serba sederhana. Beliau juga seorang pemerintah yang berwibawa. Beliau sentiasa mencari jalan untuk menguatkan pasukan tentera serta berbincang dengan sesiapa yang menyuarakan pendapatnya mengenai persediaan perang. Dalam menjayakan usaha jihad, beliau sanggup meninggalkan rumah kediaman dan keluarga, serta memilih kehidupan dalam khemah tentera.(Abdul Latip Talib:2)

Takrif.
Kehidupan.
Nama sebenar beliau ialah Yusof. Beliau lahir di Tikrit(Iraq) pada tahun 543H bersamaan 1138M. Ayahnya bernama Najmuddin Ayyub yang berbangsa Kurdis berasal dari Azarbaijan. Datuknya berpindah ke Baghdad dengan membawa dua orang puteranya Najmuddin ayyub (ayah Salahuddin) dan Asadudin Syirkuwah. Kemudian ayahnya dilantik menjadi gabenor di Tikrit dan Asadudin dilantik menjadi panglima tentera.
Sejak kecil, Salahuddin diasuh oleh bapa saudaranya,Asadudin dengan ilmu ketenteraan dan diasuh oleh ayahnya dengan ilmu agama. Salahuddin dididik dan dibesarkan seperti pemuda Kurdis yang lain. Apabila meningkat dewasa, beliau menjadi pemuda yang cekap menunggang kuda lalu menyertai tentera berkuda Sultan Aleppo. Kemudian beliau diarahkan berpindah ke Mesir walaupun pada mulanya beliau menerima perintah itu dengan berat hati kerana beliau lebih mencintai Kota Aleppo.
Apabila Sultan Nurudin yang memerintah Mesir mangkat lalu Salahuddin dilantik menjadi ketua angkatan tentera Mesir. Beberapa tahun kemudian,beliau dilantik menjadi perdana menteri Mesir. Bagi menguatkan pemerintahannya, beliau menyatukan Mesir, Syria, Hijaz, dan Yaman di bawah satu pemerintahan.
Khalifah dan pemerintah Islam.
Peristiwa perlantikan Salahuddin menjadi pemerintah Mesir bermula apabila kerajaan Fatimiyah yang berasal dari keturunan Siti Fatimah, puteri Rasulullah yang berfahaman syiah mulai lemah kerana sering berlaku perebutan kuasa sesama mereka. Ketika Mesir diperintah oleh Khalifah Al-Adhid, berlaku perebutan kuasa dengan perdana menterinya yang bernama Syawur. Perdana menteri itu mahu menjadi khalifah dan bagi mencapai cita-citanya, dia menemui Birnis, ketua panglima tentera Salib supaya menyerang Mesir daan membunuh Khalifah Al-Adhid.

Rakyat Mesir dikejutkan dengan kematian Asadudin Syirkuwah kerana tiada tanda-tanda dia dibunuh ataupun diracun. Kemudian, Khalifah Al-Adhid mengistiharkan pelantikan Salahuddin Al-Ayubi sebagai perdana menteri. Tiada sesiapa yang menyangka beliau dapat bertahan lama ekoran terdapat banyak perubahan dalam kerajaan pada tahun sebelumnya seperti perebutan kuasa oleh gabenor-gabenor yang sedia ada dalam mendapat perhatian daripada khalifah Mesir. Dia menyandang dua jawatan iaitu sebagai perdana menteri dan ketua panglima tentera.
Apabila Khalifah Al-Adhid meninggal dunia pada bulan September 1171, semua pembesar hadir dalam satu mesyuarat bagi melantik khalifah yang baru. Mereka juga bersetuju melantik Salahuddin Al-Ayubi menjadi khalifah bagi menggantikan Adhid. Salahuddin seorang yang bijak mentadbir negara, bijak memperdayakan musuh dalam peperangan. Beliau juga berpengetahuan dalam ilmu agama. Perlantikan itu tidak dipersetujui oleh bekas-bekas pembesar yang terdiri daripada orang-orang berfahaman Syiah yang dipecat oleh Salahuddin Al-Ayubi. Setelah dilantik menjadi pemimpin Mesir, Salahuddin melakukan banyak perubahan terhadap ekonomi Mesir dan menyusun semula tentera Mesir.
Dengan kewafatan sultan Nurudin Mahmud Zanky pada tahun 1174, Sultan Malikul Saleh telah menggantikan ayahnya sebagai pemerintah Mesir. Sultan Malikul Saleh yang menaiki tahkta hanya dijadikan boneka sahaja kerana baginda dipengaruhi oleh golongan Syiah.
Kemudian, setelah kematian Sultan Malikul Saleh yang tidak diketahui punca kematiannya,Salahuddin mendapat gelaran Muiz Mukminin Sultan Salahuddin bin Ayubi. Beliau dilantik menjadi sultan Mesir yang baru. Beliau kemudian mengistiharkan kemerdekaan daripada kerajaan Seljuk dan mengasaskan kerjaan Ayubbiyyah. Selain itu, beliau turut mengembalikan ajaran Sunah Waljamaah di Mesir.

Peperangan menentang tentera Salib.
Sepuluh ribu orang angkatan tentera berkuda yang dipimpin oleh Sultan Salahuddin bergerak menuju ke Hijjaz. Mereka melalui jalan yang akan digunakan oleh tentera Salib bagi menyerang Mekah dan Madinah. Mereka akan berperang di suatu tempat bernama Taimak. Di kiri kanan jalan ini terdapat kawasan berbukit dan berbatu-batu besar yang amat sesuai dijadikan tempat berlindung dan melancarkan serangan. Kemudian, mereka menggali parit dan membuat kubu di sekitar kawasan itu. Idea menggali parit ini dicetuskan oleh Panglima Muluk. Mereka sudah bersiap sedia menunggu kedatangan musuh dan berikrar berjuang bermati-matian demi menyelamatkan Mekah.
Nabi Muhammad berkata, “Barang siapa terbunuh kerana membela hartanya, maka dia mati syahid, barang siapa terbunuh kerana membela darahnya maka dia itu syahid dan barang siapa terbunuh kerana membela agamanya maka dia mati syahid dan barang siapa terbunuh kerana membela keluarganya maka dia mati syahid.”
dan,
Nabi Muhammad berkata, “Orang-orang yang mati syahid akan diberi peluang untuk memberi syafaat kepada tujuh puluh ahli keluarganya.”
Setibanya tentera Salib di Taimak, Sultan Salahuddin memerintahkan pasukan tentera pemanah melancarkan serangan. Dalam sekelip mata ramai tentera Salib telah terbunuh dan cedara. Birnis, ketua panglima tentera Salib tepaksa mengarahkan tenteranya berundur.
Selepas kekalahan terhadap tentera Islam dalam perperangan di Taimak, berpuluh-puluh ribu tentera Salib berangkat ke Beirut. Pada masa yang sama, tentera Islam juga sedang mara ke sana. Namun tentera Salib sampai lebih awal daripada tentera Islam ke Beirut. Tentera Salib telah bergabung dengan tentera Beirut bagi menentang tentera Islam. Disebabkan tentera Beirut tidak mahu berdamai, tentera Islam terpaksa menyerang mereka. Hal ini telah sampai kepada pemerintah Mesir dan segera mengerahkan armada lautnya ke Beirut.

Sebelum melakukan serangan, Salahuddin yang mahir dalam peperangan mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua pasukan tenteranya. Panglima Syamsuddin mengetuai tentera laut bagi menawan pelabuhan Beirut. Salahuddin memimpin tentera darat menawan kota Beirut. Pertempuran di pelabuan Beirut mengambil masa tujuh hari dan member kemenangan kepada tentera Islam sekali lagi.
Pada hari Sabtu 12 Rabiulakhir, Sultan Salahuddin berunding dengan ketua-ketua pasukan tenteranya. Mereka mengatur persiapan bagi melancarkan serangan ke atas tentera Salib. Mereka akan berperang dengan tentera Salib bagi membebaskan Jerusalem yang sekian lama ditakluk oleh tentera Salib. Sekiranya mereka kalah, tentera Salib akan terus menindas umat Islam selama-lamanya.
Teknik serangan beliau kali ini ialah mereka akan memulakan serangan dengan panah-panah berapi. Kemudian diikuti pasukan berkuda dan panglima Syamsuddin memimpin tentera berjalan kaki. Semasa dalam peperangan, Salahuddin sentiasa memberi semangat dan bergerak dari satu pasukan kepada satu pasukan yang lain bagi member arahan kepada tenteranya.
Apabila Birnis mendapati tenteranya ramai terkorban. Dia mengarahkan tentera berkuda elitnya menuju ke Bukit Hittin untuk bertahan dan menegakkan salib besar di puncak bukit itu. Tentera Salib mendapat semangat baru bagi melawan tentera Islam apabila melihat salib itu terpacak di puncak Bukit Hittin. Tentera islam cuba mendaki bukit itu tetapi tidak Berjaya kerana diserang oleh tentera Salib.
Putera Salahuddin iaitu Malikul Afdhal meminta izin ayahnya untuk selesaikan tugas itu. Malikul Afdhal tidak menyerang tentera Salib sebaliknya mencabar Birnis supaya turun berlawan satu lawan satu. Panglima Mark turun ke kaki bukit untuk bertarung dengan Panglima Malikul Afdhal. Akhirnya Panglima Mark Berjaya dikalahkan dan menjadi tawanan.

Birnis mengarahkan pasukan tentera berkuda turun ke kaki bukit bagi menyelamatkan Panglima Mark. Mereka terus ditentang habis-habisan oleh tentera Islam di bawah. Panglima Syamsuddin memimpin tentera pemanah memanjat Bukit Hittin dari arah belakang ketika berlakunya pertempuran di bawah. Manakala Panglima Muluk memimpin tentera berjalan kaki membantu Malikul Afdhal dan pasukan tenteranya menentang tentera Salib yang sedang bertempur di kaki bukit.
Akhirnya, pasukan memanah berjaya menguasai puncak Bukit Hittin dan tentera berkuda tentera Salib yang turun ke bawah kaki bukit juga Berjaya ditewaskan.
Kejatuhan Jerusalem di tangan tentera Islam.
Suasana di Jerusalem amat tegang. Pertempuran antara tentera Islam dengan tentera Salib boleh tercetus lagi bila-bila masa. Masing-masing bersiap sedia mahu bertempur dan mereka hanya menunggu perintah daripada ketua masing-masing.
Salahuddin memberi kebenaran kepada tenteranya membalas dendam kepada tentera Salib dan penduduk awam mereka. Tentera Islam mahu lakukan sebagaimana yang pernah tentera Salib lakukan kira-kira lapan puluh tahun dahulu. Tentera Salib melakukan kekejaman kepada orang Islam sejak hari pertama mereka menawan Jerusalem. Raja Balian iaitu raja di Jerusalem pernah datang menemui Salahuddin bagi mengadakan rundingan damai dengan tentera Islam. Namun, Salahuddin menolak rundingan tersebut kerana beliau sudah bersiap sedia untuk berperang mengalahkan tentera Salib sehingga mencapai kemenangan. Raja Balian berasa pintu rundingan sudah tertutup kerana Salahuddin seolah-olah tidak berminat lagi mahu berdamai.
Akhirnya, Salahuddin menerima rundingan damai daripada Raja Balian kerana beliau akan bertindak mengikut hati apabila pintu rundingan tertutup. Mereka akan membunuh semua tawanan dan memusnahkan harta benda milik mereka supaya tidak jatuh ke tangan tentera Islam. Mereka juga akan membunuh semua kaum wanita dan kanak-kanak supaya mereka tidak menjadi tawanan dan membakar Masjidil Aqsa dan bangunan di sekelilingnya supaya orang Islam tidak dapat menggunakannya.

Kemudian mereka baru keluar berperang dengan tentera Islam dengan tekad mahu mati ataupun menang.
Pertemuan antara Sultan Salahuddin bin Ayubi dengan Raja Balian diatur sekali lagi.Salahuddin mengemukakan syarat-syarat perdamaian kepada Raja Balian. Raja Balian menyatakan persetujuannya lalu menandatangani perjanjian. Pada pagi hari jumaat, 27 Rejab 583H, iaitu tarikh peristiwa Isra’ dan Mikraj, Salahuddin dan pasukan tenteranya bersiap sedia mahu memasuki Jerusalem. Mereka melangkah memasuki kota Jerusalem dan disambut oleh Raja Balian. Raja Balian mengarahkan tenteranya membebaskan tawanan yang terdiri daripada penduduk Islam. Kemudian Raja Balian keluar dari kota Jerusalem bersama lima belas ribu orang tenteranya. Pengunduran pertama tentera Salib dari Jerusalem selesai tanpa sebarang masalah.
Semua lambang salib diturunkan dan diganti dengan bendera-bendera Islam selepas semua orang Kristian keluar dari Jerusalem. Azan berkumandang semula di Masjidil Aqsa buat pertama kalinya selepas lebih lapan puluh tahun. Kejayaan Salahuddin menawan Jerusalem tanpa pertumpahan darah mendapat pujian dan sanjungan daripada masyarakat Islam.
Sultan Salahuddin bin Ayubi dan pasukan tenteranya pulang ke Damsyik dengan penuh kegembiraan sesudah melakukan pembersihan di Masjidil Aqsa. Walaupun berjaya menawan Jerusalem kembali, tentera Islam sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga terhadap tentera Salib yang sedang mengumpul kekuatan mereka semula.

Kewafatan.
Pada suatu pagi, apabila terjaga dari tidur, Salahuddin merasa badannya panas. Pada mulanya dia menyangka hanya demam biasa. Tetapi penyakitnya semakin lama semakin teruk. Beberapa orang doctor dijemput bagi memberikan ubat dan rawatan, tetapi penyakitnya bertambah teruk. Orang ramai datang menziarahinya apabila berita itu tersebar.
Semasa sedang menahan kesakitan, Salahuddin meminta Imam Abu Jaafar membacakan ayat-ayat al-Quran sehingga azan Subuh berkumandang. Ketika itu keadaan Salahuddin bertambah tenat.
Sultan Salahuddin menunaikan solat Subuh di tempat perbaringannya sesudah berwuduk. Orang ramai masih datang menziarahinya lagi selepas solat Subuh. Keadaannya bertambah tenat dan Imam Abu Jaafar menyambung bacaan ayat-ayat al-Quran. Ketika sampai kepada ayat yang bermaksud “Tiada Tuhan Melainkan Allah,” kedengaran suara Salahuddin mengucapkannya lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Berita kemangkatan Sultan Salahuddin menggemparkan umat Islam di seluruh dunia. Pembesar-pembesar dari tanah jajahan dan negeri-negeri yang di bawah pemerintahan Islam datang menziarahinya sambil mengucapkan takziah kepada keluarganya.
Sumbangan Salahuddin Al-Ayubi.
Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Semangat Salahuddin berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Beliau sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuatkan pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad.
Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Masjidil Aqsa. Pada hari jumaat, 27 Rejab, 583H, iaitu pada hari Isra' dan Mikraj, Salahuddin telah memasuki bandar suci tempat Rasulullah s.a.w. naik ke langit.
Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeza daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam.

Kewarakan juga menjadi sifat istimewa bagi Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia telah lama tidak pergi sembahyang berjemaah. Beliau memang suka sembahyang berjemaah, bahkan ketika sakitnya beliau akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh Rasulullah saw, beliau sentiasa mengerjakan sembahyang sunnat malam.
Ketika mengepung bandar Acre, Salahuddin mengidap sakit berat yang menyebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun demikian, beliau keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana ia boleh menahan sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, "Penyakit akan meninggalkanku apabila kamu menunggang kuda".
Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Ia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan beliau mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun beliau sebenarnya orang Kurd. beliau sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya. Di samping itu,beliau juga banyak menghafal syair-syair Arab.

Kesimpulan.
Sifat kepahlawanan Salahuddin Al-Ayubi sentiasa menjadi contoh dan tauladan yang baik kepada setiap orang Islam di dunia ini. Sebagai manusia biasa, kita harus menjadikan tokoh-tokoh ternama seperti Salahuddin Al-Ayubi sebagai contoh terbaik untuk terus maju ke hadapan tanpa dipandang hina oleh orang luar. Keperibadian beliau terserlah sejak beliau masih remaja. Beliau juga banyak belajar tentang agama Islam sejak kecil lagi. Seperti kata-kata Saidina Umar bin Al-Khattab:
“Ajarkan anak-anak kalian berenang, memanah (menembak), seni mempertahankan diri dan menunggang kuda.”
Sifatnya yang suka merendah diri menjadikan beliau sentiasa dihormati dan disayangi oleh penduduk Islam ketika itu. Beliau sentiasa menumpukan segala usaha dan tenaganya kepada satu tujuan iaitu membina empayar Muslim yang cukup kuat bagi menghalau keluar kaum Kristian dari Baitul Maqdis. Seterusnya, di medan perang,Salahuddin kelihatan seperti seorang ibu yang kehilangan anaknya. Beliau kelihatan sentiasa berada di atas kudanya bergerak dari penjuru medan perang ke satu penjuru yang lain sambil menyeru tenteranya berjuang kerana Allah. Selain itu, sifat penyayang dan belas kasihan Jerusalem jauh berbeza dengan tentera Salib. Salahuddin menunjukkan ketinggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya juga amat bertanggungjawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan walaupun tehadap orang-orang Kristian. Selain itu, Salahuddin Al-Ayubi juga seorang yang pemurah. Kesemua wang yang diperolehinya habis diberikan kepada mereka yang memerlukan. Dia juga tidak terpengaruh dengan harta. Semasa mengambil alih pemerintahan Mesir, Khalifah Adhid banyak meninggalkan harta namun dia tidak mengambilnya. Selain itu, harta-harta rampasan perang juga dibahagikan kepada tenteranya. Ketika meninggal dunia, beliau tidak memiliki sebuah rumah dan wang simpanannya hanya empat dinar sahaja.

Rujukan,
Abdul Latip Talib(2007). NOVEL SEJARAH ISLAM : SALAHUDIN AYUBI PENAKLUK JERUSALEM. Kuala lumpur : PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Abdul Aziz Salim Basyarhill(1996). KISAH DAN PENGAJARAN. Johor : Perniagaan Jahabersa.
Imam Munawwir(1985). MENGENAL PERBADI 30 PENDEKAR DAN PEMIKIR ISLAM. Surabaya : PT Bina Ilmu.
Prof. Madya Dato’ Hj Mohd Mokhtar Shafie(1993).SEJARAH KEAGUNGAN KERAJAAN ISLAM. Malaysia: Nurin Enterprise.
Mustaffa Suhaimi(1993). PERANG SALIB. Progressive Publishing House Sdn. Bhd.

3 comments: