Thursday, July 1, 2010

Peristiwa Israk Mikraj Dan Pengajarannya

Disediakan
Untuk:
Encik Abdul Aziz Bin Harjin

Disediakan
Oleh:
Muhammad Nurhafiz Bin nashurudin

No matrix:2009460054
Tarikh Akhir Penghantaran:11/3/2010

Fakulti Sains Komputer Dan Matematik(CS110)
Universiti Teknologi Mara

ABSTRAK
Dalam peristiwa Israk Mikraj yang dihadapi oleh Rasulullah SAW,kita akan dapat mengetahui pelbagai peristiwa yang aneh dan ajaib yang telah dilihatnya ketika dinaikkan ke Sidratul Muntaha dari langit pertama sehingga ke langit ketujuh. Selain itu,kita dapat buktikan adakah perjalanan Rasulullah SAW ke langit ketujuh ini melalui roh atau jasadnya sahaja,mahupun kedua-duanya iaitu roh dan jasad? Peristiwa Israk Mikraj ini dapat kita fahami dengan jelas dan melihat hikmah atau pengajaran yang tersurat atau tersirat semasa peristiwa ini terjadi. Hasil kutipan daripada bahan-bahan rujukan tentang Israk Mikraj didapati peristiwa ini merupakan satu peristiwa yang begitu menguji keimanan umat Islam kerana Allah SWT telah menguji kepercayaan manusia dengan kejadian Israk Mikraj ini dimana Rasulullah SAW melakukankan perjalanan dari Masjidul Haram,Makkah ke Masjidul Aqsa,Baitul Maqdis yang dipanggil Israk manakala Mikraj ialah perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidul Aqsa,Baitul Maqdis ke Sidratul Muntaha ke langit ketujuh dan ramai yang tidak mempercayai kata-kata Rasulullah tentang perjalanannya itu. Semasa perjalanan ke langit ketujuh,Rasulullah SAW telah bertemu dengan nabi-nabi sebelumnya dan melihat kejadian-kejadian yang terjadi kepada manusia yang hidupnya didunia membuat dosa dan dimurkai Allah SWT. Menurut Haji Mohd Rashad Shamsuddin dalam bukunya Sirah Muhammad dalam subtopik perbezaan pendapat di muka surat dua ratus dua menyatakan banyak pandangan ulama berkenaan cara pengembaraan baginda ke langit ketujuh. Adakah melalui roh dan jasad? Jika perjalanannya melalui roh atau mimpi maka semestinya Rasulullah memberitahu secara terus terang tanpa berselindung lagi. Pada peristiwa ini juga Allah SWT telah memerintahkan makhluknya kewajipan solat. Kesimpulannya,peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali menjelang 27 Rejab. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang mungkar. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya. Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati , kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah mereka percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Rasulullah SAW langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi.

PENDAHULUAN
Pada setiap tanggal dua puluh tujuh Rejab tiba , kita akan selalu teringat suatu peristiwa yang sangat luarbiasa , yang terjadi sejak lima belas abad yang silam, iaitu peristiwa perjalanan Rasulullah SAW di waktu malam dengan menaiki buraq dari Masjidul Haram di Mekah ke Masjidul Aqsa di Baitul Maqdis, terus naik ke langit ketujuh sampai ke Sidratul Muntaha ,peristiwa ini lebih dikenali dalam masyarakat kita hari ini iaitu” Peristiwa Israk dan Mikraj” Hebatnya peristiwa ini sehingga mengundang sebahagian dari kaum Muslimin setiap pelusuk negara kita memperingatinya dengan mengadakan pelbagai kegiatan khususnya di masjid-masjid, surau-surau, sekolah atau pusat pengajian tinggi dan sebagainya semata-mata untuk meraikan sambutan peristiwa bersejarah ini sehingga semangat ini terbawa-bawa walaupun bulan Rejab telah berlalu. Peristiwa Israk dan Mikraj terjadi Cuma sekali sepanjang sejarah hidup Rasulullah SAW. Satu setengah tahun sebelum berhijrah ke Madinah perkara yang berlaku ini terjadi kepada diri seorang manusia maksum dan sungguh luar biasa sehingga tidak semua orang meyakini kebenarannya , kecuali orang yang benar -benar beriman, yang mendapat hidayah dari Allah SWT . Bagi orang yang beriman kepada keesaan Allah SWT dan hari Kiamat, mereka menerima dengan hati yang terbuka dan pasrah kerana peristiwa ini merupakan satu perkara yang logic , apatah lagi peristiwa itu dihubungkan sebagai salah satu mukjizat Rasulullah SAW, maka tidak ada masalah yang perlu diragui. Yang jelas kebenaran peristiwa ini tidak mesti sesuai dengan hukum alam dan logik akal manusia, tanpa juga mempercayai secara jasad dan roh, kecuali setelah diperoleh bekas-bekas yang nyata dari peristiwa tersebut. Kita juga mesti beriman dengan Israk dan Mikraj iaitu ada perintah kewajipan menunaikan solat lima waktu. Kewajipan inilah yang menjadi pokok keimanan dan hendaklah dikerjakan bersungguh-sungguh serta tidak meninggalkannya. Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku setelah Rasulullah SAW menempuh tahun dukacita di mana baginda telah kehilangan orang yang paling dikasihi dalam hidupnya, iaitu isteri baginda, Siti Khadijah, dan bapa saudara baginda, Abu Talib. Mereka berdua adalah tokoh penting yang telah membantu usaha dakwah baginda di peringkat awal. Bayangkanlah bagaimana remuk redamnya perasaan Nabi ketika itu. Hilang teman hidup yang telah berkorban segala-galanya untuk Nabi dan perjuangan Islam. Di saat kesedihan yang amat sangat itulah Jibril datang membawa pesan gembira untuk mengiringi Nabi untuk Israk dan Mikraj bertemu Pencipta nya. Itulah hadiah yang paling bermakna ketika baginda memerlukannya.

DEFINISI ISRAK DAN MIKRAJ
Merujuk buku yang berjudul Sirah Muhammad Rasulullah SAW,Israk dan Mikraj dapat didefinisikan seperti berikut :
Israk ialah perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidul Haram,Makkah ke Masjidul Aqsa,Baitul Maqdis sementara Mikraj adalah perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidul Aqsa, Baitul Maqdis ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh.
Haji Mohd Rashad Shamsuddin(2002)
Secara umumnya,maksud ‘Israk‘ ialah perjalanan yang Allah SWT perlakukan kepada Rasulullah SAW secara terhormat, bermula dari Masjid al-Haram di Makkah hingga ke masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis di Palestin. Sementara maksud ‘Mikraj‘ ialah kejadian yang berlaku ekoran dari peristiwa israk, iaitu naik dari al-Aqsa kepada beberapa lapisan langit yang tinggi, sampai ke suatu peringkat yang tertinggi iaitu suatu tempat bernama ‘Sidratul Muntaha’ di mana ilmu dan akal manusia atau jin tidak mampu sampai kepadanya.Peristiwa Israk Mikraj merupakan salah satu peristiwa penting dalam rakaman sejarah kehidupan Rasulullah SAW . Peristiwa ini bukan sahaja penting kepada Rasulullah SAW semata-mata, malah peristiwa ini amat penting sekali kepada seluruh Umat Islam.Kepada Rasulullah SAW peristiwa ini juga adalah suatu anugerah tertinggi Allah kepada baginda sebagai Nabi kekasih Allah, di mana berlakunya pertemuan yang begitu shahdu dan qudus di antara baginda dengan Tuhannya(Allah).
Haji Mohd Rashad Shamsuddin(2002)
KRONOLOGI PERISTIWA ISRAK MIKRAJ

Sebelum Israk dan Mikraj
Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang individu yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Diceritakan sebelum peristiwa ni berlaku

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il.Hati Baginda S.A.W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (’alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke nubuwwah”. Pada suatu malam,Jibril datang mengejutkan Muhammad SAW daripada tidurnya dan membawa Rasulullah SAW menaiki binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

Zulkifli Mohd Yusoff dan Noor Naemah Abd. Rahman(2007).

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa)

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah Madinah, tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah , Turusaina iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah dan Bait Lehem (tempat Nabi `Isa A. S. dilahirkan).

H.Zainal Arifin Abbas(1970).

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW dipanggil oleh seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail:Teruskan pejalanan! Itulah adalah jelmaan syaitan yang tidak berputus asa untuk menyesatkan manusia. Kemudian baginda terserempak dengan seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.Dalam perjalan itu juga baginda terserempak dengan seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail:Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

H.Zainal Arifin Abbas(1970).

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.Merujuk buku Biografi Muhammad Bin Abdullah(Perjalanan Hidup Seorang Nabi) karya Zulkifli Mohd. Yusoff dan Noor Naemah Abd.Rahman dalam subtopik Israk Mikraj ada menulis:

Di Masjid al-Aqsa,sedang berlaku perhimpunan yang sangat luar biasa.Allah menghidupkan para rasul dan para nabi untuk bertemu dengan Muhammad di Masjid al-Aqsa.Ulama menyebut jumlah para rasul seramai 315 orang dan jumlah para nabi 24000 orang.
Muhammad berkata,”Semua rasul dan nabi menunaikan haji di Mekah.

Zulkifli Mohd Yusoff dan Noor Naemah Abd. Rahman(2007).


Kemudian ,selepas menunaikan sembahyang, Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu Jibrail membawa dua bekas minuman yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Zulkifli Mohd Yusoff dan Noor Naemah Abd. Rahman(2007).

Semasa Mikraj (Naik ke Sidratul Muntaha Menemui Allah)

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia(Babul Hafazah).Rasulullah SAW diterima oleh para malaikat dilangit dunia dengan ketawa dan kegembiraan serta mendoakan baginda dengan yang baik-baik tetapi ada satu malaikat yang berjumpa dengan Rasulullah dan mendoakan yang baik-baik kepadanya tetapi tidak ketawa, baginda tidak nampak kegembiraan padanya seperti mana malaikat yang dijumpainya sebelum ini. Itulah malaikat Malik penjaga Pintu Neraka yang dikatakan oleh malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW. Setelah diperintahkan oleh Jibril atas permintaan Rasulullah,lalu Malik membuka tutupnya dan memancar-mancarlah api yang panas membara memercik tinggi ke udara sehinggakan seperti boleh membakar apa sahaja yang boleh dilihat oleh Rasulullah.Kemudian,baginda menyuruh Jibril memberitahu Malik supaya kembalikan api itu di tempat asalnya lalu Jibril memberitahu Malik dan dia

berkata”Tenangkanlah Nyalaanmu!”,lalu kembalilah api neraka itu ke tempat asalnya. Semasa dilangit pertama,baginda dapat menyaksikan pelbagai peristiwa simbolik yang amat ajaib.Disana baginda melihat seorang lelaki duduk disana sambil melihat roh-roh manusia keturunan Adam yang lalu di hadapannya.”Roh yang baik datang dari jasad yang baik,”manakala kepada sesetengah yang lain dia akan berkata”Cis! Sambil mengerutkan kening,”Roh yang kotor datang dari jasad yang kotor.” Selepas itu,rasulullah melihat ada orang yang berenang dalam sungai darah. Apabila mereka sampai ke tepi,mereka ternganga lalu para malaikat melontarkan api-api neraka ke dalam mulut mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan harta anak-anak yatim .
Kemudian, baginda melihat lelaki yang merangkak dengan perut seperti unta dalam kedahagaan, semasa menuju ke neraka,mereka jalan mengesutkan badan mereka tetapi tidak terdaya.Jibril berkata kepada baginda,”itulah orang yang memakan riba!”. Baginda juga melihat Satu kaum lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail” Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami.” Selain itu,baginda melihat perempuan mengendung buah dadanya,kata Jibril kepada baginda”mereka itu adalah perempuan
yang melahirkan anak bukan daripada suami mereka.”

Shamsuddin,Haji Mohd. Rashad(2002)

Di langit Kedua, baginda dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S. Kemudian ,baginda dan Jibril naik ke langit ketiga dan bertemu dengan Nabi Yusuf A.S. Setelah itu, baginda dan Jibril ke langit Keempat dan bertemu dengan Nabi Idris A.S. Seterusnya, baginda dan Jibril naik tangga langit kelima lalu bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil. Di Langit Keenam, Naik tangga langit keenam. Baginda bertemu dengan Nabi Musa A. S. Kemudian baginda naik ke langit ketujuh dan berjumpa dengan Nabi Ibrahim A.S. dan baginda dibawa memasuki syurga dan disana baginda terlihat seorang gadis yang bibirnya merah-merah kehitaman lalu baginda bertanya kepadanya untuk siapakah dia? Lalu dia menjawab,”Untuk Zaid bin Harisah.”Baginda pun mengembirakan Zaid akan hal tersebut.

H.Zainal Arifin Abbas(1970).

Dalam perjalanan ke lapisan hijab, ketika baginda memerhati sesuatu yang tidak tergambar dengan hati dan fikiran,tidak terlihat dengan pandangan kasar:pandangan matanya tidak terdaya merenungi kehebatan kejadian yang boleh membutakan mata kasar,maka itulah Allah SWT membuka mata hati Rasulullah SAW dan mengizinkannya melihat suatu bentuk keindahan yang amat hebat sekali.

Shamsuddin,Haji Mohd. Rashad(2002)

Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia
kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah SWT: aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

H.Zainal Arifin Abbas(1970).



Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Yunus Ali Al-Muhdhor(1993).

Selepas Israk dan Mikraj

Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis.Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama.Orang pertama yang dijumpainya ialah Abu Jahal.Dia seakan-akan mengetahui akan ada sesuatu yang ingin baginda katakan lalu dia bertanya kapada baginda,”Apakah yang yang bermain di fikiranmu wahai Muhammad?”lalu baginda menceritakan peristiwa Israk Mikraj itu kepada Abu Jahal dan dia mentertawakan baginda lalu mengajak dan mengumpul penduduk mekah mendengar cerita Muhammad SAW.Abu Bakar yang mendengar cerita Muhammad itu daripada Abu Jahal tanpa keraguan membenarkan kata-kata baginda.Dari sinilah Abu Bakar mendapat gelaran As-Siddiq yang bermaksud membenarkan kata-kata Rasulullah SAW. Penduduk mekah tidak mempercayai kata-kata Rasulullah sama ada kafir Quraisy mahupun Umat Islam yang lemah imannya.Ramai umat Islam yang murtad ketika itu. Untuk memalukan Rasulullah SAW,Abu Jahal meminta baginda untuk menggambarkan ciri-ciri struktur binaan Masjidil Aqsa.Abu Jahal terdiam apabila baginda menjelaskan ciri binaan masjidil Aqsa dengan sangat terperinci.Gambaran baginda diakui oleh mereka yang telah pergi ke sana.

H.Zainal Arifin Abbas(1970).

Perbezaan Pendapat Mengenai Perjalanan Israk Mikraj Rasulullah SAW
Terdapat pelbagai pendapat yang menyatakan bagaimana baginda SAW melalui perjalanan Israk Mikraj ini.Adakah melalui roh atau jasadnya sahaja?atau roh dan jasad sekali dinaikkan semasa perjalanan itu.

Dari sudut logik akal pada zaman Rasulullah, pengembaraan beribu kilometer ke ruang angkasa dalam satu malam adalah tidak masuk akal dan tidak diterima oleh masyarakat dimasa itu.Maka penentuan yang menyatakan roh sahaja yang dinaikkan semasa pengembaraan baginda adalah jalan terbaik untuk meyakini pengembaraan baginda Rasulullah SAW.menurut Aisyah,jasad baginda tidak lenyap di muka bumi ini dan yang di Mikrajkan itu hanyalah rohnya.Selain itu,ada segolongan yang lain berpendapat bahawa pengembaran Israk Mikraj itu hanyalah mimpi Rasulullah SAW.

Shamsuddin,Haji Mohd. Rashad(2002).

Berdasarkan pendapat ulama-ulama,perjalanan baginda ketika Israk Mikraj adalah melalui roh dan jasad.Hal ini berdasarkan peristiwa baginda menaiki Burak untuk ke langit ketujuh.Jika hanya melalui roh,tidak perlulah burak untuk ditunggang oleh baginda kerana roh tidak diperlukan untuk naik ke langit.Selain itu,ini dapat dibuktikan lagi apabila baginda memilih untuk meminum susu daripada arak yang diberikan oleh Jibril. Roh tidak boleh minum,ini membuktikan pengembaraan baginda ini melalui roh dan jasad sekali.

Syaikh Abul Hasan `Ali al-Hasani an-Nadwi(2005) .

PENGAJARAN
Berdasarkan kepada peristiwa Israk Mikraj, kita memperolehi pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya untuk direnungi serta dihayati. Antara pengajaran berguna tersebut ialah manusia harus sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah, baik di kala ditimpa kesusahan mahupun di kala mendapat kesenangan. Selain itu,manusia sebagai hamba Allah harus menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Selain daripada itu,semasa Israk Mikraj,baginda ditunjukkan berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan. Pengajaran yang terpenting ialah perintah solat sebagai suatu bentuk ibadah yang Allah sendiri menggariskan ketentuan mengenainya. Kewajipan solat berbeza dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Pengajaran yang seterusnya ialah,manusia harus mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia. Di samping itu,manusia digalakkan memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Kita juga mestilah mengingatkan usia dunia yang sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek tua. Pengajaran terakhir ialah kita mestilah berwaspada dengan rayuan dan tipu daya iblis, di mana sewaktu Israk, pada awal perjalanan lagi syaitan yang menyamar sebagai perempuan cuba menghalang perjalanan Nabi dan berusaha memperdayakan baginda.
H.Zainal Arifin Abbas(1970).
Syaikh Abul Hasan `Ali al-Hasani an-Nadwi(2005)
Yunus,prof H.Mahmud(1979).

KESIMPULAN

Israk Mikraj merupakan mukjizat yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Justeru, Pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ianya dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini.Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj ini juga merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah SWT.Allah SWT telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda SAW.Yang menjadi agenda utama sempena peristiwa ini adalah perintah wajib sembahyang lima waktu sehari semalam, baik untuk peribadi baginda s.a.w. mahupun untuk umatnya dengan waktu yang telah ditetapkan.Justeru,ini dapat dilihat bahawa betapa pentingnya sembahyang di dalam kehidupan seseorang Muslim , maka marilah kita tanamkan pendidikan Islam secara umum dam pendidikan agama secara khusus kepada anak-anak kita . Kita mesti ada perancangan terutama yang berkaitan masa depan anak-anak dengan dibekalkan mereka dengan pengajaran agama, supaya nanti mereka tidak lupa dan salah faham mengenai agama Islam, tidak lagi yang tidak tahu Rukun Islam dan Rukun Iman dan ia akan menyedarkan mereka untuk menguasai seluruh kehidupan dengan amalan baik dan sempurna.Jadikan pengajaran dan iktibar dari peristiwa Isra’ dan Mikraj sebagai langkah untuk membersihkan serta membentuk sahsiah diri kita dengan kembali ke jalan Allah dan meninggalkan perbuatan keji yang sia-sia.Kita sebagai hamba Allah , tugas kita bukan sahaja memperingati peristiwa Israk Mikraj ini malah kita haruslah mempraktikkan apa yang patut diambil berdasarkan pengajaran daripada peristiwa Israk Mikraj ini untuk mendapatkan keredaan daripada Allah SWT.Hasil daripada pengabdian yang ikhlas kepada Allah SWT yang Maha Esa dan Maha Berkuasa,maka akan lahirlah insan yang teguh iman dan ehsan kepada-Nya semata-mata untuk mencari keredaan-Nya.

RUJUKAN
1.Syaikh Abul Hasan `Ali al-Hasani an-Nadwi(2005) . Sirah Nawawiyah “Sejarah Lengkap Nabi Muhammad SAW,jilid 1 , terjemahan: Muhammad Habbi Hamdi,Istiqamah , Adi Fadli , Editor : Suryo Widiatmoko , Hidayat Halim , Ali Imran , Trilasanto , Yogyakarta : Mardhiyah Press.
2.Shamsuddin,Haji Mohd. Rashad(2002). Sirah Muhammad Rasulullah SAW,jilid 1 , Kuala Lumpur : Al-Hidayah Publishers.
3.Muhammad Husain Haekal(2002) . Sejarah Hidup Muhammad , jilid 4 , terjemahan Ali Audah , Singapura : Pustaka National PTE LTD.
4.Yunus,prof H.Mahmud(1979).Tafsir Quran Karim,jilid 9 , singapura : Percitakan pakar.
5.Zulkifli Mohd Yusoff dan Noor Naemah Abd. Rahman(2007).Biografi Muhammad bin Abdullah(Perjalanan hidup seorang nabi),Editor:Firdaus binti Md Tahir,Imran Azmi,Selangor:PTS Islamika.
6.H.Zainal Arifin Abbas(1970).Sejarah dan Perjuangan Nabi Muhammad,jilid 3,Kuala Lumpur:Pustaka Antara.
7.Yunus Ali Al-Muhdhor(1993).Kehidupan Nabi Muhammad SAW dan Amirul Mu`minin Ali Bin Abi Thalib RA,Kuala Lumpur:Victoria Agencie.

No comments:

Post a Comment