Thursday, July 1, 2010

Kelahiran Nabi Nuh A.S Dan Teladannya Kepada Umat Islam

Disediakan Untuk:
Ustaz Abd. Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh:
Normi Binti Ishak
2009457654

Tarikh:
10 Mac 2010

Falkuti Sains Komputer Dan Matematik
Universiti Teknologi Mara

Abstrak
Nama sebenar Nabi Nuh a.s ialahNuh bin Laamak bin Motausyelakh bin Khanoukh-iaitu Idris bin Yarud bin Mahlayal bin Qainan bin Anausy bin Syeets bin Adam a.s, bapa kepada seluruh umat manusia. Menurut catatan Ibnu Jarir dan ulama ahli sejarah lain, beliau telah dilahirkan setelah wafatnya Nabi Adam a.s selama 126 tahun. Mengikut sumber rujukan saya, ruang waktu antara kematian Nabi Adam a.s dan kelahiran Nabi Nuh berjumlah 146 tahun manakala jarak waktu antara kedua-duanya dalam sepuluh abad. Pendapat ini adalah menurut sejarah Ahli-ahli kitab Klasik.
Beliau dilahirkan setelah wafatnya Adam as. selama waktu 126 tahun. Ini adalah menurut catatan Ibnu Jarir serta ulama ahli sejarah yang lain. Manakala menurut para Ahli Kitab Klasik, jarak ruang waktu antara kamatian Nabi Adam as. dan kelahiran Nabi Nuh as. berjumlah 146 tahun. Sifat kesombongan kaum kafir yang tidak mahu menghiraukan nasihat dan ancaman Allah. Namun dengan sifat kasabaran Nuh yang tinggi, beliau tetap meneruskan dakwah ke jalan Allah. Setelah sekian lama, kaum kafir tetap melakukan keingkaran dan menghina beliau serta pengikut-pengikutnya. Beliau pun memohon kepada Allah agar melenyapkan semua orang kafir dari muka bumi ini, dan tidak seorang pun yang perlu ditinggalkan.
Allah telah mengabulkan doanya. Melalui kisah Nabi Nuh ini, teladan yang dapat diambil ialah Balaghah Al-Quran dalam mengungkap terjadinya banjir besar. Selain itu, teladan yang dapat diperolehi ialah keserasian hubungan antara golongan. Sifat yang harus ada pada setiap individu ialah semangat tekad yang kuat. Hubungan kekeluargaan merupakan salah satu faktor dalam membina umat manusia.
Secara kesimpulannya kita dapat melihat kesabaran Nabi Nuh as. yang tinggi dalam menjalankan dakwah kepada umatnya walaupun beliau mendapat tentangan yang hebat. Selain itu, dapt melihat betapa besarnya kuasa Allah dalam menghancurkan kaum Nabi Nuh yang ingkar.

PENDAHULUAN

Nabi Nuh a.s adalah Rasul pertama yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan risalah kepada kaumnya ketika mereka sudah berpaling menyembah patung-patung dan berbuat kezaliman serta kekufuran kepada Allah. Belaiu juga amat terkenal dikalangan umat Islam. Kisah riwayat hidupnya amat digemari oleh ramai umat Islam. Antara salah satu faktornya ialah kerana Nabi Nuh a.s dianggap sebagai manusia yang paling panjang umurnya iaitu kira-kira hampir 1000 tahun lamanya. Manalaka menurut para penulis agama islam mengatakan bahawa umur beliau adalah 950 tahun. . (Luqman Hakim, 2001: 25)

Walaupun umurnya panjang, namun beliau hanya berjaya mengimankan beberapa orang sahaja umatnya. Ini telah menunjukan bagaimana degilnya kaum Nuh setelah mereka diseru supaya beriman kepada Allah. Sewaktu beliau berusia 480 tahun, Allah telah mengutuskannya menjadi Nabi dan Rasul. Walaupun beliau adalah seorang Rasul, namun tetap diduga oleh Allah dengan pelbagai dugaan seperti umatnya enggan menerima ajaran yang dibawa olehnya. Dengan sifat kesabaranya yang tinggi dia tetap menyeru umatnya agar menyembah Allah walaupun ditentang. Beliau juga terkenal dengan sifatnya yang bijak dan pandai berhujah. . (Luqman Hakim, 2001: 25-32)

Nabi Nuh as. telah berusaha dengan penuh sabar dan bijaksana menyeru umatnya agar menyembah Allah tetapi mereka enggan mengikutnya. Hanya segelintir sahaja umatnya yang mengikut ajarannya iaitu mereka tergolong dalam orang-orang yang lemah dan miskin.

Akhirnya setelah puas beliau menyeru seluruh umatnya untuk tunduk dan patuh kepada Allah S.W.T dan tidak memperoleh kejayaan, Nabi Nuh telah berdoa kepada Allah untuk menurunkan menurunkan seksaan yang amat dasyat kepada umatnya yang ingkar. Doa beliau telah dimakbulkan oleh Allah dan Allah telah berfirman kepadany: “ Engkau perbuatkanlah kapal dengan pertolongan dan petunjuk-petunjuk Kami dan janganlah engkau pohonkan pertolongan kepadaKu tentang nasib orang-orang yang zalim itu, mereka semuanya akan tenggelam.”
1
Sifat umat Nabi Nuh as. yang suka mengejek dan takbur telah melemparkan ejekan dan kata-kata sinis kepadanya. Setelah sempurna kapal yang dibinanya, Allah telah memerintahkan supaya membawa suluruh pengikutnya yang beriman serta binatang ternakan secara berpasangan untuk segera naik ke kapal.

Setelah itu, Allah telah menurunkan malapetaka dengan menurunkan hujan yang lebat dan juga mengeluarkan air dari muka bumi dengan banyak sekali sehingga menenggelami bukit-bukit walaupun ia tinggi sekali pun. Ketika Allah meyelamatkannya daripada angin taufan, beliau melihat dunia menjadi satu lautan. Semantara itu, dia berada diatas bahtera kemudian beliau membaca Laa ilaaha illallah. Oleh itu, Nabi Nuh merupakan nabi yang pertama menyebut kalimah itu. Tidak seorang pun yang dapat menyelamatkan diri dari malapeteka tersebut walaupun putera Nabi Nuh sendiri yang tidak mahu mengikut ajaran yang dibawa oleh ayahnya. (Dr.Ibrahim Rabi’ Muhammad, 2007: 24)

Sebelum Nabi Nuh meninggal dunia, beliau telah mewasiatkan kepada anaknya: “Aku akan berkata kepadamu suatu wasiat. Kamu diperintahkan mengerjakan dua perkara dan dilarang melakukan dua perkara lainnya. Kamu diperintah bersaksi: Laa ilaaha illallah, bahawa tiada tuhan selain Allah serta kalimat Subhaanallahi-wa biham dih yang menjadi kalimat solat segala sesuatu. Yang lainnya, kamu dilarang bersyirik dan sombong.” Mengikut beberapa pendapat golongan tabi’in, makam Nuh berada di lingkungan masjidil Haram. Pendapat ini lebih kuat berbanding pendapat para ahli sejarah yang mengatakan makam Nuh terdapat di Bakrah Nuh dimana didirikan sebuah masjid untuk memperingatinya.

TAKRIF

Kelahiran

Beliau dilahirkan setelah wafatnya Adam as. selama waktu 126 tahun. Ini adalah menurut catatan Ibnu Jarir serta ulama ahli sejarah yang lain. Manakala menurut para Ahli Kitab Klasik, jarak ruang waktu antara kamatian Nabi Adam as. dan kelahiran Nabi Nuh as. berjumlah 146 tahun. Jarak antara keduanya adalah antara sepuluh abad. Manakala menurut riwayat Bukhari, jarak antara Nuh dan Adam ialah satu kurun sama dengan 100 kurun.

Sumbangan Dalam Berdakwah

Setelah mendapat wahyu daripada Allah SWT., Nuh mula menyeru umat-umatnya untuk menyembah Allah. Nuh pernah berkata kepada kaumnya: “ Sesungguhnya aku ini orang yang menyampaikan ancaman Allah dan menerangkan jalan keselamatan kepada kalian. Maka beribadahlah hanya kepada Allah saja, dan janganlah menyukutukan-Nya, kerana saya kuatir kalau kalian akan mendapat azab yang sangat pedih pada hari kiamat nanti.” (Dr. Afif Abdullah, 1983: 84-85)

Sifat kesombongan kaum kafir yang tidak mahu menghiraukan nasihat dan ancaman Allah. Mereka tidak mahu patuh dengan kata-kata Nuh kerana mereka mengatakan nabi haruslah dari kalangan malaikat bukanlah manusia. Selain itu, mereka juga menuduh Nuh dan pengikutnya sebagai orang-orang bohong. (Dr. Afif Abdullah, 1983:86-87)

Namun dengan sifat kasabaran Nuh yang tinggi, beliau tetap meneruskan dakwah ke jalan Allah. Nuh telah mempergunakan metoda diskusi dan mengulangi kekasaran hati mereka dengan mengatakan bahawa dia tidak memandang kepada kebendaan tetapi hanya pahala dan ganjaran daripada Allah. Dengan cara ini telah mempengaruhi mereka, tetapi mereka akan beriman asalkan Nuh menjauhi orang-orang yang lemah. (Dr. Afif Abdullah, 1983:87-90)

Setelah sekian lama, kaum kafir tetap melakukan keingkaran dan menghina beliau serta pengikut-pengikutnya. Lalu Nabi Nuh berasa putus asa atas segala kemampuannya dalam memberi petunjuk pada kaumnya, ternyata mengalami jalan buntu. Beliau pun memohon kepada Allah agar melenyapkan semua orang kafir dari muka bumi ini, dan tidak seorang pun yang perlu ditinggalkan.

Allah telah mengabulkan doanya. Allah telah menurunkan malapetaka iaitu banjir yang amat besar dengan menenggelamkan seluruh muka bumi dan tidak ada seorang kaum kafir yang terselamat walaupun putera Nuh sekali pun kecuali orang-orang mukmin yang mengikut Nuh menaiki bahtera.


Teladan Yang Dapat Diambil

Melalui kisah Nabi Nuh ini, teladan yang dapat diambil ialah Balaghah Al-Quran dalam mengungkap terjadinya banjir besar. Peristiwa ini merupakan salah satu azab yang amat pedih yang ditimpakan oleh Allah terhadap orang-orang kafir. Al-Quran tidak menyebut: “ Hai bumi telanlah airmu maka ditelanlah air, dan hai langit berhentilah maka berhentilah hujan itu.” Ini kerana kalau mempergunakan kalimat itu akan mendatangkan keraguan terhadap keagungan Allah.

Selain itu, teladan yang dapat diperolehi ialah keserasian hubungan antara golongan. Pada zaman Nabi Nuh, terdapat golongan yang kaya dan terhormat serte golongan kaum buruh dan fakir. Golongan kaum buruh dan fakir menerima ajaran yang dibawa oleh Nuh tetapi tidak golongan yang kaya dan terhormat. Mereka merasakn tidak layak untuk bersama dengan orang yang lebih rendah darjatnya.

Sifat yang harus ada pada setiap individu ialah semangat tekad yang kuat. Nabi Nuh merupakan salah seorang yang layak diambil contoh. Nuh tetap berdakwah secara terus-menerus walaupun beliau tahu bahawa dakwahnya itu mendapat tentangan yang hebat. Beliau juga masih tidak gentar dengan ancaman-ancaman yang diberi oleh kaum kafir.

Hubungan kekeluargaan merupakan salah satu faktor dalam membina umat manusia. Islam banyak memberi perhatian serta menekankan tentang masalah keluarga, ini kerana masalah dan tabiat manusia bergantung kepada baik atau buruknya sesebuah keluarga itu. Dalam kisah Nabi Nuh, Nuh amat menyayangi anaknya sehingga beliau memohon kepada Allah untuk menyelamatkan anaknya dari malapetaka yang amat darsyat walaupun anaknya juga seorang yang ingkar dengan perintahnya.

KESIMPULAN
Secara kesimpulannya kita dapat lihat keunggulan Nabi Nuh as. yang diutuskan oleh Allah sebagai Rasul dan Nabi kepada umatnya pada masa itu. Sifat kesabaran yang tinggi yang diberi oleh Allah kepadanya telah membantu beliau ketika berliau berdakwah ke jalan Allah. Dengan kebijaksanaan beliau juga telah berjaya menarik beberapa orang kaumnya untuk mengikut ajaran yang dibawa olehnya. Kaum Nabi Nuh as. merupakan kaum yang menyembah berhala iaitu Paganis. Oleh itu, Nuh telah menyeru kaumnya untuk kembali ke jalan yang benar iaitu dengan menyembah pencipta yang sebenar iaitu Allah swt. Namun, sikap mereka yang takbur dan angkuh tidak mahu menerima ajaran yang dibawa oleh Nuh. Mereka juga tidak percaya bahawa Nuh adalah Rasul yang diutuskan oleh Allah, kerana mengikut mereka Rasul haruslah dari golongan para malaikat bukannya dari golongan manusia sendiri. Hanya golongan fakir dan lemah sahaja yang mengikut ajaran Nuh. Setelah sekian lama mengerahkan segala kemampuan dalam memberi petunjuk kepada kaumnya, ternyata beliau menjadi buntu. Lalu Nuh telah berdoa kepada Allah untuk menurunkan bala kepada kaumnya yang pendusta tetapi selamatkanlah dirinya serta orang-orang mukmin. Allah telah mengabulkan doa Nuh, lalu menghendakinya untuk membina sebuah tempat perlindungan kepada mereka iaitu sebuah bahtera yang besar. Setelah siap membina bahtera tersebut, Allah telah menurunkan hujan beserta taufan yang kuat dan mengeluarkan air dari muka bumi dengan mencurah-curah sehingga menenggelamkan seluruh muka bumi. Akibat daripada itu, tiada seorang pun yang terselamat dari bencana yang hebat itu termasuk putera serta isterinya yang ingkar dengan kata-katanya. Setelah bahtera Nuh berlabuh di atas gunung dan bumi telah menelan airnya, Allah telah memerintah beliau turun ke daratan. Akhir daripada kisah Nabi Nuh ini Allah telah berfirman kepada Nabi Muhammad saw.: “Kisah Nuh dan kaumnya yang Kami ceritakan kepadamu adalah perkara ghaib; kamu serta kaummu tidak mngetahuinya sehingga Kami menurunkan wahyu kepadamu. Maka sabarlah menghadapinya sepertinya kesabaran Nuh dahulu kerana keberuntungan kamu akan diperoleh seperti yang pernah diperoleh oleh Nuh dahulu.”

RUJUKAN
1.Hakim, Luqman (2001). Sejarah Para Ambiya’. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers, m/s 25-32
2.Muhammad, Rabi’, Ibrahim, Dr. (2007). Orang-orang Pertama Dalam Islam. Johor Bahru, Johor: Perniagaan Jahabersa, m/s 24.
3.NurulHas (2000). Himpunan Kisah-kisah Teladan 3, jilid 3. Gombak, Kuala Lumpur: Majujaya Indah Sdn.Bhd, m/s 33.
4.Abdullah, Afif, Dr. (1989). Nabi-nabi Dalam Al-Qur’an. Klang, Selangor Darul Ehsan: Klang Book Centre, m/s 81-107.
5.Muhtar Aes Asmaji (2002). Kisah Para Nabi Dan Teladan Bagi Orang Yang Berakal, terjemahan. Johor Bahru, Johor: Perniagaan Jahabersa.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment